Penubuhan Pelayanan Migran dan Perantau Keuskupan Agung Kota Kinabalu

Kota Kinabalu: “Terimakasih kerana anda telah memberikan respon kepada seruan untuk datang dan mendengar tentang Pelayanan Pastoral kepada Migran dan Perantau,” kata Uskup Agung John Wong kepada para perwakilan paroki dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu pada 17 April 2021 yang lalu. Pertemuan para perwakilan dari semua paroki dalam Keuskupan Agung Kota Kinabalu itu diadakan di Bilik F6, Kompleks Paroki Sacred Heart Kota Kinabalu yang disertai oleh seramai 80 orang.

Uskup Agung John yang tiba seawal jam 8.45 pagi, seterusnya menerangkan serba sedikit tentang keperluan penubuhan Pelayanan Migran dan Perantau dan juga memperkenalkan para anggota Komisi Pelayanan Pastoral Bagi Migran dan Perantau Keuskupan Agung Kota Kinabalu.

Dalam penjelasan singkatnya, Uskup Agung John menyatakan bahawa Komisi yang baru itu merupakan kesinambungan daripada Komisi terdahulu iaitu Komisi Pembangungan Insan atau yang lebih dikenali dengan singkatannya, AHDC. Jelasnya, AHDC, yang bidang pelayanannya amat luas, telah dibubarkan bagi membuka jalan untuk penubuhan dua lagi pelayanan pastoral yang lebih khusus iaitu pelayanan pastoral kepada golongan migran yang menggunakan singkatan nama ACMI, dan juga pelayanan amal kebajikan yang menggunakan nama CARITAS. Jelasnya lagi, ahli-ahli AHDC yang telah dibubarkan telah diserap kembali ke dalam dua pelayanan khusus tersebut mengikut pilihan mereka sendiri. Kewujudan dua lagi komisi tersebut juga memperlihatkan kemasukan beberapa ahli baru.

Setelah menerangkan perkara tersebut, Uskup Agung John seterusnya berpesan kepada semua perwakilan paroki-paroki yang hadir supaya setelah menghadiri taklimat tersebut, mereka mengusahakan pertemuan dengan paderi paroki bagi penubuhan Komiti Pelayanan Migran di paroki masing-masing.

Taklimat tersebut kemudiannya diteruskan dengan sesi Penerangan dan Soal-Jawab berkaitan dua topik iaitu ‘PPMP di Keuskupan dan Paroki’ yang dikendalikan oleh Saudara Dominic Lim selaku Ketua Komisi, dan ‘Spiritualiti PPMP’ yang dikongsikan oleh Rev Fr Ambrose A, yang juga merupakan Penasihat Rohani kepada komisi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top